..YA ALLAH, JIKA AKU JATUH CINTA, CINTAKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA PADA-MU, AGAR BERTAMBAH KEKUATAN KU UNTUK MENCINTAI-MU..

Sunday, March 16, 2008

··¤(`×[¤warkah buat adik¤]×´)¤··

Photobucket
Salam buat adikku yang amat ku kasihi dan cintai,
Surat ini kucoretkan kerana aku ingin meluahkan segala yang terbuku di dasar hati ini. Sesungguhnya engkaulah hidupku, engkaulah jantung hatiku, engkaulah penawar kelukaanku, engkaulah penghibur kala aku menangis, engkaulah yang sentiasa ku bawa dalam hatiku ke mana jua kaki ku melangkah.

Adikku,
Hadirmu dalam keluarga kita menambahkan lagi seri yang selama ini semakin kelam dan hambar. Kerana dirimu aku mampu menjadi seorang Along, kerana mu panggilan ‘adik’ meniti dibibirku setiap masa, kerana mu kerisauan seorang kakak bertandang dan menjengah ruang hati ini, kerana mu aku berusaha untuk menjadi yang terbaik demi masa depan dirimu, diriku dan keluarga kita.

Adikku,
Tahukah engkau sebenarnya hati ini merintih? Tahukah engkau sebenarnya hati ini menangis? Tidak.. Pasti engkau tidak tahu dan akan ku pastikan engkau tidak akan pernah tahu. Kerana perasaan sedih ku ini tidak penting. Rasa kecewa ku ini tidak bererti untuk dibandingkan dengan kebahagiaan dirimu. Biarlah hati ini menangis, biarlah hati ini terluka dan berdarah aku rela demi secebis kebahagiaan buat dirimu.

Adikku,
Aku sedar aku tidak pernah menzahirkan rasa kasihku pada dirimu. Tapi semua itu tidak bererti aku tidak menyayangi dirimu. Sungguh aku mencintai dan menyayangimu kerana hanya engkau adikku. Kerana engkau buah hatiku, walaupun kita membesar dalam rahim ibu yang berbeda. Terhasil dari benih yang jua berbeda. Namun semua itu tidak pernah menggugat kasih sayang diri ini terhadapmu.

Adikku yang amatku kasihi,
Sebagai kakak aku sedar banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu ini. Ada amanah yang diletakkan dipundakku. Semua itu aku galas biarpun kadangkala aku tidak mampu untuk memikulnya seorang diri. Namun demi dirimu dan kakakmu (jua adikku) aku redha kerana kasih sayang yang menular dalam hati ini melebihi segala kesusahan dan kesukaran yang aku rasai. Biarlah kadangkala kata-katamu menyiat hati ini, merobek segenap hati ini aku pasrah. Kerana hatiku telah ku didik untuk terus tabah demi dirimu. Aku harus kuat untuk memikul segala amanah yang telah diberikan.

Kadangkala airmata ini sukar untukku bendung apa lagi saat mataku menangkap airmata yang mengalir di pipimu, saat telinga ini mendengar rintihan hatimu yang sayu. Tapi aku tabahkan hati aku teguhkan jiwa kerana aku tidak mungkin menangis di hadapanmu. Biarlah orang mengatakan aku ini keras hati atau hati batu sekalipun aku tidak peduli. Kerana aku tahu aku harus kuat demi dirimu. Aku harus meminjamkan sedikit ketabahanku buatmu. Andai aku jua lemah dan tersungkur pasti dirimu patah semangat. Aku tidak ingin itu berlaku. Kerana itu aku harus kuat dan tabah.

Adikku,
Sebenarnya terlalu banyak yang ingin ku coretkan buat tatapanmu namun aku tidak berdaya untuk meneruskannya. Airmata ini bagaikan tidak mahu berhenti mengalir membasahi pipiku ketika aku mencoretkan warkah ini untuk tatapan dirimu. Biar sebanyak mana airmata yang kuusap namun makin deras ia mengalir. Biarlah, kadangkala dengan menangis aku mampu mengurangkan bebanan perasaan yang ku tanggung kini.

Adikku yang tersayang,
Cukuplah setakat ini coretan buat dirimu. Aku sudah tidak mampu lagi. Jiwa ini sebenarnya lemah, hati ini juga telah lama goyah. Namun tetap aku tabahkan dan kuatkan hati ini demi dirimu. Aku ingin melihat cahaya kegembiraan di wajahmu. Aku ingin melihat segaris senyuman terlukis dibibirmu. Aku ingin mendengar nyanyian tawa riangmu. Itu sudah cukup untuk membalut segala kesedihan dan kekecewaan diri ini. Maafkan diri ini sekiranya aku gagal menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang kakak buat dirimu. Diri ini sentiasa mendoakan kebahagiaan buat dirimu.

Salam penuh kasih,

Kakakmu

1 comment:

Unknown said...

bagus-bagus tulisannya
salam kenal ya